ST Lupuskan 2,933 Barangan Rampasan Bernilai Lebih RM1.7 Juta
Putrajaya, 4 Jun 2025 – Suruhanjaya Tenaga (ST) telah berjaya melupuskan sebanyak 2,933 unit barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta pada 3 Jun 2025. Pelupusan ini melibatkan barangan kes dari negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hasil daripada siasatan terhadap beberapa pelanggaran perundangan berkaitan keselamatan serta penggunaan tenaga elektrik. Barangan yang dilupuskan terdiri daripada barangan kes berikut:
i. Kes Kemalangan Elektrik yang melibatkan 16 kertas siasatan,
ii. Operasi Curi Elektrik yang melibatkan 4 kertas siasatan, dan
iii. Operasi Kelengkapan Elektrik Tidak Sah yang melibatkan 1 kertas siasatan.
Pelupusan tersebut telah berlangsung di sebuah pusat pelupusan logam berlesen di Balakong, Selangor dan telah disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Encik Ismail Zaili Yusop bersama Timbalan Pengarah Unit Penyiasatan ST, Ir. Nik Mohd Bakhry Abu Bakar.
Pelupusan barang rampasan kes ini dijalankan berdasarkan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 413 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang melibatkan 21 kertas siasatan yang telah diselesaikan melalui proses mahkamah dan kompaun.
Bagi memastikan pelupusan dijalankan secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar, ST telah melantik sebuah syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menguruskan pelupusan buangan elektronik (e-waste). Proses ini dijalankan mengikut ketetapan di bawah:
• Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan
• Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005
Pengurusan barangan rampasan turut melibatkan proses pengasingan (segregation) antara sisa terjadual, sisa boleh dikitar semula dan sampah biasa. Menurut pihak pelaksana, barangan yang sesuai akan dihantar kepada pembeli sah dan fasiliti pemulihan lengkap (full recovery facilities) mengikut kategori sisa.
Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan ST dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang serta pemeliharaan alam sekitar dilaksanakan secara menyeluruh dan berintegriti.
Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau hubungi kami di talian 03-8870 8500.
About The Energy Commission
The Energy Commission (Suruhanjaya Tenaga - ST) is a regulatory body responsible for regulating the energy sector, particularly the electricity and piped gas supply industries in Peninsular Malaysia and the Federal Territory of Labuan. The Energy Commission ensures that the provision of electricity and piped gas to consumers is secure, reliable, safe and reasonably priced.